Petang ini laporan penuh siasatan kes letupan paip gas di Putra Heights telah dibentangkan kepada media dan tatapan umum.
Esok, 1 Julai 2025 menandakan genap 3 bulan kejadian ini berlaku. Sejak kejadian ini berlaku, Kerajaan Negeri telah berikhtiar dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan para mangsa terpelihara. Keutamaan adalah menjaga kebajikan mereka semasa bencana terjadi serta proses pemulihan pasca bencana.
Dari hari pertama saya telah memberi komitmen sepenuhnya agar siasatan penuh dilaksanakan dengan telus dan terperinci dan mengambil kira semua aspek. Siasatan ini dilaksanakan dengan bebas dan teliti oleh agensi keselamatan, agensi teknikal seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). Proses siasatan melibatkan siasatan terperinci oleh pihak polis, pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan komponen paip gas, serta pengambilan sampel untuk analisis makmal.
Bagi tujuan ketelusan, ‘transparency’ serta ‘accountability’ ataupun kebertanggungjawaban, saya sertakan laporan penuh di link berkenaan bagi tatapan awam.
Laporan ini akan dijadikan asas bagi tujuan ‘preventive measures’ seterusnya bagi memastikan bencana ini tidak berulang lagi. Selanjutnya, Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan di bawah Unit Pengurusan Bencana Negeri melibatkan pakar termasuk pihak Petronas untuk mengemukakan cadangan pembaharuan undang-undang, prosedur kelulusan kebenaran merancang, dasar pembangunan mengambil kira risiko perubahan iklim.
Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan proses siasatan ini selama tiga bulan sehingga kepada penyiapan laporan lengkap berkenaan.
Muatturun: