Kenyataan Media

RM2.73 Juta Bantuan Sewa: Komitmen Amirudin Shari Bantu Mangsa Letupan Gas

01.05.2025

Bantuan Sewa RM2.73 Juta untuk Mangsa Kebakaran Paip Gas di Putra Heights

Alhamdulillah, hari ini saya, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, telah menyampaikan sumbangan wang sewaan kepada 70 keluarga daripada kumpulan ketiga penerima insiden Kebakaran Paip Gas di Putra Heights. Bantuan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam meringankan beban mangsa Letupan Gas yang berlaku pada 1 April lalu.

Jumlah keseluruhan bantuan sewaan untuk tempoh tiga bulan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.73 juta, merangkumi 455 keluarga yang terjejas. Bantuan ini diharap dapat memberikan ruang bernafas serta sedikit keselesaan kepada mereka untuk membina semula kehidupan selepas berdepan saat yang mencabar.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan untuk membina semula 103 rumah yang musnah sepenuhnya dan membaik pulih 203 rumah lain yang mengalami kerosakan. Proses pembinaan semula ini akan diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Sime Darby Property, dengan penyelarasan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, saya memberi jaminan bahawa proses pemulihan ini akan dilaksanakan secara telus, tersusun dan berteraskan kebajikan rakyat. Selangor tidak akan membiarkan mangsa tragedi ini bersendirian.

#KitaSelangor