5 April 2025
Alhamdulillah, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri ke-4 telah dilaksanakan hari ini bagi membincangkan situasi terkini insiden kebakaran paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April 2025. Saya ingin merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor mengenai pembatalan Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 bagi menghormati situasi yang sedang dihadapi oleh mangsa kebakaran.
Selain itu, pihak Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan kebajikan mangsa dan kelancaran pemulihan, termasuk:
1. Pendaftaran Mangsa di PPS (Pusat Pemindahan Sementara):
Mangsa yang masih belum pulang dari kampung disarankan untuk segera mendaftar di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights agar tiada mangsa yang tercicir dari bantuan.
2. Bantuan Kenderaan:
Sejak 3 April 2025, 25 unit kenderaan telah diserahkan oleh Chery dan DRB-HICOM untuk membantu mangsa kebakaran, dengan lebih banyak bantuan dijangka tiba pada hari Isnin. Juga, Prasarana Selangor melalui demand-responsive transit (DRT) akan membawa pelajar ke sekolah.
3. Pemulihan Kawasan:
Jabatan Kerja Raya kini bekerja untuk memasang kawasan tadahan untuk mengelakkan mendapan tanah di kawasan yang terjejas. Siasatan lebih lanjut oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) juga sedang dijalankan.
4. Jumlah Keluarga Terkesan:
Setakat pagi ini, 509 keluarga telah berdaftar dengan PPS, dan jumlah ini dijangka terus meningkat. 157 keluarga masih berada di PPS sementara 352 keluarga telah mengusahakan tempat tinggal sementara.
5. Siasatan Mesin Pengorek:
Sebuah mesin pengorek telah ditemui di kawasan kejadian, dan siasatan lebih lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian ini.
Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan agensi-agensi berkaitan akan terus berusaha memulihkan kawasan yang terjejas dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Selangor. Kami tidak akan berhenti bekerja sehingga mangsa kembali ke rumah masing-masing dengan selamat.
#KitaSelangor