9 April 2025
Usaha membantu mangsa Kebakaran Paip Gas di Putra Heights diteruskan hari ini dengan inisiatif prihatin oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui empat buah trak makanan dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Mereka menyajikan makanan dan minuman secara percuma kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, termasuk petugas barisan hadapan yang bertugas di lokasi.
Menurut Pengarah FAMA Selangor, Isa Hamzah, sambutan amat menggalakkan apabila semua makanan habis dalam tempoh hanya dua jam. Antara menu yang disediakan ialah kebab, ayam goreng Korea, nasi ayam geprek dan pelbagai minuman — hasil kerjasama antara FAMA dan peserta Agro Truck Pasar Tani.
Dalam perkembangan berkaitan, Datin Seri Masdiana Muhamad, isteri kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, turut hadir menyantuni mangsa dan menyampaikan bantuan keperluan asas. Beliau yang juga Yang Dipertua PEKAWANIS menzahirkan keprihatinan dengan menyumbang alat tulis dan bahan bacaan untuk kanak-kanak serta telekung dan sejadah kepada keluarga mangsa.
“Saya sempat bertemu beberapa keluarga dan memberi sokongan moral. Dalam situasi begini, kehadiran dan perhatian sangat bererti,” ujar Datin Seri Masdiana.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus komited memastikan semua mangsa menerima sokongan menyeluruh dalam tempoh pemulihan ini.
#KitaSelangor